WANITA DAN ILMU
طَلَبُ الْعِلْمِ فَرِيْضَةٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِ م
"Menuntut ilmu wajib bagi setiap muslim".
Sesungguhnya tuntutan menuntut ilmu bukanlah tuntutan khusus bagi kaum adam semata. Sebagai wanita yang memegang amanah hebat membentuk generasi ummat, kaum hawa juga tutut sama dipertanggungjawabkan untuk mencari dan mendalami ilmu pengetahuan. Menuntut ilmu perlu dijadikan salah satu rutin kehidupan yang tidak boleh dikesampingkan. Dalam kesibukan menjadi tenaga kerja juga suri rumahtangga, wanita wajib mencari ruang dan peluang untuk sama-sama menambah ilmu dan pengetahuannya. Bagi memulakan langkah menjadi wanita solehah yang akan bahagia di dunia dan akhirat, wanita perlu terlebih dahulu bersedia menjadi penuntut ilmu sepanjang masa. Mendalami bahan bacaan, menghadiri pengajian, berkongsi sesama kawan-kawan yang baik adalah antara cara mudah mencambahkan ilmu pengetahuan. Namun sebagai wanita muslimah yang mempunyai nilai dan darjat yang mulia dari wanita-wanita lain, adab dan etika menuntut ilmu haruslah difahami sebaiknya. Dengan pemahaman yang baik, wanita mampu mencapai keutamaan dalam hidupnya tanpa mengabaikan tanggungjawab dan amanah sedia ada.
Antara adab-adab yang perlu difahami oleh golongan muslimah berkaitan dengan menuntut ilmu adalah:
1. Mendapat izin suami (untuk yang bersuami) untuk keluar menuntut ilmu.
2. Penglibatannya dalam majlis ilmu perlulah aman dari fitnah.
3. Mencari guru di luar setelah tiada yang boleh mendidiknya di kalangan mahramnya.
4. Tidak mengabaikan tanggungjawab terhadap rumah tangga dan keluarga.
Wanita tidak akan mampu menjadi isteri, ibu, anak, pekerja, ketua, atau apa sahaja tanpa ilmu yang mencukupi. Dan hanya ilmu agama yang mampu menambah kesempurnaan tugas seorang wanita samaada dalam kehidupan peribadi atau bermasyarakat. Ini kerana Islam sebagai agama yang sempurna telah menyediakan garis panduan yang cukup lengkap untuk membantu para wanita menjadi yang terbaik di kalangan yang baik.
“Barangsiapa yang Allah menghendaki padanya kebaikan maka Dia akan menjadikannya mengerti masalah agama.”
(HR. Bukhari dan Muslim)
Persoalan hari ini sejauh mana masyrakat merasa perlu untuk terus mendalami ilmu? Adakah cukup dengan pengiktirafan dari helaian sijil yang menyatakan seseorang itu telah memiliki ilmu dalam bidangnya? Inilah persoalan yang cukup membimbangkan bilamana ijazah dan kelulusan menjadikan manusia merasa cukup dengan apa yang ada. Jawatan besar juga membuatkan manusia merasa hebat dan sempurna dari terus mempersiapkan diri menambah ilmu terutamanya ilmu-ilmu agama. Hari ini, kata-kata ‘Tuntutlah ilmu dari buaian hingga ke liang lahad’ seakan tidak ada kebenaran. Kita seakan rela berada dalam budaya ikut-ikut dari mengkaji sendiri sesuatu yang datang kepada kita melalui neraca
timbangan ilmu yang benar. Kita seakan tidak sanggup menggadaikan sedikit masa untuk mendalami ilmu apalagi untuk menjadi pencinta-pencinta ilmu.
“Imam Syafii (Rahimahullahu Ta’ala) berkata:
“Barang siapa yang tidak cinta terhadap ilmu, maka tidak ada kebaikan padanya; dan janganlah di antara kamu dengannya terjalin hubungan intim dan tidak perlu kenal dengannya, sebab orang yang tidak mahu mencari ilmu, tentu ia tidak akan mengetahui cara-cara beribadah dan tidak akan melaksanakan ibadah sesuai dengan ketentuan-ketentuannya. Seandainya ada seseorang yang beribadah kepada Allah Swt. seperti ibadahnya para malaikat di langit, tetapi tanpa dilandasi dengan ilmu, maka ia termasuk orang-orang yang merugi.” (Dikutip dari kitab ‘Ilajul Amradlir Radiyyah, hamisy kitab ‘Fawaidul Makkiyyah’, halaman 14-15)
Nyata di sini bahawa ilmu amat diperlukan untuk menjana kecemerlangan seseorang insan. Tanpa ilmu manusia tidak mungkin memiliki apa-apa yang dihajatinya dengan pemilikan yang sebenar. Memiliki ilmu akan menjadikan manusia mampu menyelamatkan diri dari kejahilan yang pastinya akan merosakkan kehidupan.
Dr. ‘Aidh Qarni dalam bukunya yang bertajuk ‘La Tahzan (Jangan Bersedih) ada menyebut tentang bagaimana ilmu mampu menghilangkan kesedihan dalam diri manusia. Beliau menyatakan bahawa manusia yang memiliki ilmu akan memahami hikmah disebalik ujian dan kesedihan yang ditimpakan Allah padanya. Dengan yang demikian kesedihan dapat diatasi dengan sebaiknya.
Ilmu tidak hanya diperlukan untuk meraih habuan dunia semata, bahkan ilmu yang lebih utama adalah ilmu yang mampu menghidupkan jiwa untuk terus mengingati Allah dan RasulNya.
Saidina Ali r.a ada menyatakan:
“Sesiapa yang menginginkan dunia maka hendaklah dia berilmu, sesiapa yang menginginkan akhirat maka hendaklah dia berilmu, dan sesiapa yang menghendaki keduanya maka hendaklah juga dia berilmu’.