MANA MUNGKIN AKU JATUH CINTA
Mengharap jatuh cinta tanpa kenal, pastinya satu keajaiban. Sekalipun selalu kita dengar tentang cinta pandang pertama, namun pandangan pertama yang tak ‘dilayan’ takkan memungkinkan cinta terus tersemai. Dari pandangan pertama kita akan memaksa diri mengenal si pencuri hati.maka proses mengenal akan kita cipta. Samada terang –terangan atau secara rahsia. Itulah fitrah dalam menyemai cinta pada manusia. Dan nyata itu juga cara mendapat dan merasa cinta pemilik segala cinta, Allah yang maha kuasa. Mana mungkin kita jatuh cinta padaNya kalau tidak didahulukan dengan mengenali dan memahami tentangNya. Mungkin akan timbul persoalan mengapa perlu kenal dan cintakan Allah? Jawapannya mudah saja, kenal untuk cinta yang darinya mampu menjadikan kita ‘gila bayang’ dan sanggup lakukan apa sahaja tanpa sebarang bantahan dan sangsi. Maka jadilah kita pencinta yang taat pada segala yang dituntut untuk kita lakukan.
Firman Allah dlm surah az-Zariyat ayat 56:
وما خلقت الجن والانسان الا ليعبدون
“Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu”.
Ayat tersebut menerangkan berkaitan tujuan manusia diciptakan ke muka bumi ini. Bila dikatakan bahawa utk menyembah maka secara automatiknya meletakkan kita
sebagai hamba. Dan memang menjadi sifat wajib bagi hamba yang kenal tuannya untuk taat dan setia.
Namun sesuatu yang lebih penting dari sekadar sembah ialah mengenal Allah terlebih dahulu. Kerana itu ada ulama yang mentafsirkan perkataan ‘liya’budun’ dalam ayat di atas sebagai ‘liyakrifun’ atau bermakna ‘untuk mengenal’.
Secara logiknya….kita perlu kenal untuk membolehkan kita jadi hamba yang taat.Tak kenal juga membuatkan kita tak cinta dan kalau dah tak cinta dan tak suka maka semuanya akan jadi terpaksa. Buat sesuatu bukan seperti yang diminta tetapi mengikut apa yang kita suka. Kalau betul-betul suka, solat yang susah pun akan jadi senang.Solat yang lama pun akan rasa sekejap. Tutup aurat yang panas dan rimas pun rasa boleh tahan.Kalau kita ikuti sirah Rasulullah saw pun itulah yang akan kita jumpa. Baginda berdakwah dengan mengajar manusia mengenali Allah dan kemudian barulah diperintahkan melakukan Syariat atau amalan lain. Bila Allah dah cukup dikenali maka kita boleh tengok hebatnya amalan para sahabat. Sanggup buat apa sahaja untuk agama sekalipun terpaksa korbankan diri, keluarga dan harta. Ini semua sebab mereka telah berjaya kenal Allah yang maha hebat.
Sebab tu juga ada disebut bahawa awal agama itu ialah mengenal Allah. Kerana dengan betul-betul kenal Allah melalui nama-namaNya dan sifat-sifatNya tak akan jadikan kita sesat.Tak akan buat hati kita goyah dengan hasutan apapun.
Bila kita faham dalam sifat Allah tu ada menjelaskan bahawa Allah tu ‘maha mendengar’ maka kita akan yakin bahawa kita ada tempat mengadu.Jadi aduan dan
permintaan kita tak akan disia-siakan. Kalau kita tahu nama Allah juga ada ‘ar-razzaq’ maka kita akan yakin bahawa yang memberi rezeki pada kita bukan manusia tapi Allah swt. Dengan kefahaman tentang nama dan sifatNya itu maka keyakinan kita takkan tergugat dengan apa sekalipun yang datang. Apapun masalah yang datang kita tahu itu dari Dia. Diuji hanya untuk menjadikan kita lebih baik dan untuk bagi kita ganjaran pahala. Maka dari situ akan timbul sangka baik pada setiap takdir Allah. Satu perkara yang lebih menarik ialah kita mampu menjadi manusia yang ikhlas dalam melakukan sesuatu.Tak akan timbul rasa rugi buat kebaikan sekiranya tak dikenang orang sebab tujuan kita lakukan sesuatu bukan untuk manusia tetapi hanya untuk Dia. Sekalipun zahirnya seolah-olah kita lakukan untuk orang lain.
Persoalannya adakah kita telah mengenali Allah? Kalau jawapannya ya, maka sudah pasti kita adalah dari golongan manusia yang sedang berbahagia. Namun kalau sebaliknya maka inilah jawapan kepada setiap permasalahan kita. Tidak kenal Allah menjadikan kita mudah putus asa, cepat kecewa, berdendam dan banyak lagi masalah-masalah diri yang lain. Antara cara mudah untuk memulakan langkah mengenal Allah adalah :
1. Mohon pada Allah dengan sungguh-sungguh untuk kenal Dia.sebab yang nak bagi kenal pun Dia juga.
2. Belajar tentang sifat-sifatNya, nama-namaNya dan apa sahaja tentang Allah.
3. Dekati al-Quran dan fahami isi kandungannya sebab al-Quran kan kalam Allah.
4. Latih diri untuk kaitkan segala yang berlaku dalam hidup kita dengan Allah sekalipun perkara-perkara yang kita rasa kecil dan remeh.
Menjadi orang yang mengenal Allah memerlukan kita mengenal dan mencintai terlebih dahulu ‘ahli-ahli’Nya. Kerana hanya ahliNya sahaja yang berkemampuan membawa kita mengenali Dia. Maka antara ‘short-cut’ menjadi pencinta Allah ialah dengan mendekati dan mengenali mereka yang hampir denganNya. Siapa lagi kalau bukan Baginda Rasulullah s.a.w. Namun mutakhir ini, dek kerana kejahilan dan hijab yang pelbagai, tak mungkin mampu kita mengenali apalagi mendekati Baginda yang mulia. Di sinilah betapa perlunya kita untuk mencari dan mendekati orang-orang kecintaan Baginda terlebih dahulu. Mereka adalah dikalangan guru-guru yang sangat mengenal dan mencintai Rasulullah s.a.w. Hidup mati mereka pula hanya untuk membawa manusia mengenal Allah dan mencintai Rasulullah s.a.w. Mereka inilah yang mampu menghidupkan jiwa manusia dan memberi khabar gembira tentang segala janji Allah s.w.t. Dan dari merekalah manusia akan mampu menggapai cinta pada kekasih Allah seterusnya membawa pada kenal dan cinta pada Allah s.w.t. Maka hampirilah para pejuang Allah dan RasulNya ini, kerana hanya dengan menjadi ahli mereka saja kita layak menjadi ahli Allah dan ahli Rasulullah s.a.w
No comments:
Post a Comment